Perbetulkan persepsi Islam zalim - Utusan Malaysia

Perbetulkan persepsi Islam zalim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Persepsi Islam sebagai agama yang zalim, rigid dan tidak bertimbang rasa mesti diperbetulkan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang memberitahu, selayaknya risalah Islam yang membawa panji-panji kedamaian dan keadilan serta menolak fanatik perkauman mesti terus disebar-luaskan kepada masyarakat keseluruhannya.

Beliau malah berkata, selari dengan keperluan masa kini, kerangka fiqh harus dilihat dalam skop yang lebih luas berasaskan kepada realiti budaya setempat tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas Islam.

“Inilah sebenarnya semangat hijrah yang mesti sama-sama kita hayati bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.

“Malah dengan cabaran yang sedia terbentang, umat Islam mesti berani berhijrah dan melakukan transformasi dalam memperkasa pencapaian dan kemajuan diri, keluarga, masyarakat mahupun negara,” katanya dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2018M di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli berangkat ke majlis sambutan majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN