Perangi jerat dawai, lindungi spesies Harimau Malaya - Utusan Malaysia

Perangi jerat dawai, lindungi spesies Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Usaha memerangi jerat dawai yang dipasang pemburu haram untuk menangkap spesies Harimau Malaya merupakan program konservasi dijalankan secara berterusan bagi menyekat kepupusan haiwan tersebut di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, keluasan hutan di Semenanjung Malaysia yang merangkumi 4.8 juta hektar menjadi faktor mengapa lebih ramai anggota daripada agensi penguatkuasaan diperlukan bagi menjalankan operasi bersepadu membanteras aktiviti penggunaan jerat dawai.  

Menurut beliau, pihak kementerian juga sudah mengadakan perbincangan bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi menambah 50 lagi anggota mereka yang akan menjalankan rondaan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta sukarelawan dari Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

“Harimau Malaya berdepan dengan penganiayaan manusia sepanjang beberapa dekad lalu kerana didorong oleh permintaan bagi mendapatkan anggota badan spesies tersebut untuk diseludup ke luar negara.

“Populasi Harimau Malaya menjunam daripada anggaran 3,000 kepada 350 hingga 400 ekor sahaja dan spesies tersebut berdepan dengan risiko yang sangat tinggi untuk pupus dalam tempoh masa 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) ‘Senarai Merah Spesies Terancam’ di Auditorium Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN