Perak mahu tamatkan badi PKNS - Utusan Malaysia

Perak mahu tamatkan badi PKNS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Walaupun hanya menentang pasukan berstatus kelab, namun PKNS FC bukan lawan sembarangan dan Perak perlu memberikan permainan terbaik jika enggan berputih mata dalam suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh esok.

Rekod pertemuan musim ini yang menyaksikan PKNS menang tiga dan seri satu ke atas Perak cukup membimbangkan pengendali Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, yang menuntut anak-anak buahnya lebih bersedia, terutama beraksi di depan penyokong sendiri.

“PKNS adalah pasukan yang sangat kuat, mereka memiliki ramai pemain berkualiti sama ada bintang tempatan, mahu pun import.

“Rekod pertemuan tidak berpihak kepada kami musim ini, malah saya turut menjangkakan pertarungan yang sengit esok.

“Begitupun saya percaya, kalau pasukan kami dapat mengekalkan disiplin, sudah tentu mereka boleh merakam kemenangan pertama ke atas PKNS,” kata Durakovic kepada pemberita.

PKNS FC yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal turut menyingkirkan Perak pada suku akhir Piala FA, April lalu.

Kali terakhir Perak merangkul Piala Malaysia adalah 18 tahun lalu selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 dalam perlawanan akhir 2000.

Menyedari penyokong Bos Gaurus begitu dahagakan piala berprestij itu, Mehmet berharap impian mereka dapat direalisasikan musim ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN