PASIR GUDANG 20 Sept. – Kontinjen Perak muncul johan keseluruhan dalam Karnival Sukan Politeknik Malaysia yang berlangsung di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini selama lima hari dan berakhir hari ini.
Kontinjen berkenaan yang memperoleh lima emas dan satu perak berjaya mengenepikan 12 kontinjen lain dalam karnival edisi ke-24 itu yang mempertandingkan lima sukan iaitu bola sepak, bola jaring, sepak takraw, badminton dan petanque.
Kontinjen Pahang yang memperoleh tiga emas, satu perak, satu gangsa muncul naib johan manakala kontinjen Selangor yang memperoleh dua emas, satu perak dan satu gangsa ditempat ketiga.
Seramai 900 atlet daripada politeknik seluruh negara terlibat dalam karnival kali itu yang dianjurkan PIS dengan kerjasama Majlis Sukan Politeknik (MSP).
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan disaksikan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti merangkap Timbalan Yang Dipertua MSP, Muhamad Rumzi Mamat. – UTUSAN ONLINE











