Perak hilang sengat di laman sendiri - Utusan Malaysia

Perak hilang sengat di laman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih Perak, Chan Wing Hoong me­ngakui skuadnya beraksi dalam keadaan tertekan serta gugup pada aksi pertama pe­ringkat Kumpulan A Sukan Malaysia (Sukma) 2018 ketika menentang Sarawak yang berkesudahan dengan keputusan 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kelmarin.

Menurut Wing Hoong, status Perak selaku juara bertahan adalah penyebab mereka sering beraksi dalam tekanan yang mana bekas pemain pertahanan skuad The Bos Gaurus itu berharap pemainnya akan bangkit pada aksi kedua menentang Perlis di venue sama hari ini.

“Saya lihat pemain tidak beraksi di tahap sebenar berban­ding aksi persahabatan mereka sebelum ini. Mereka kelihatan gugup mungkin kerana beraksi di laman sendiri yang dipenuhi dengan para penyokong.

“Beraksi di bawah tekanan turut menjadi punca kami gagal mencapai kemenangan pertama. Pemain perlu lebih tenang untuk aksi selepas ini. Jika pemain beraksi di tahap sebenar saya yakin tiada masalah untuk kami mencari tiga mata berharga,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Sarawak terlebih dahulu membuka tirai gol menerusi jaringan Amir Amri Salleh seawal minit keempat sebelum Muhamad Asyraaf Mat Pushni menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Mengulas lanjut mengenai aksi tersebut, jurulatih berusia 41 tahun itu berkata, gol awal yang diperoleh Sarawak menyebabkan anak-anak buahnya hilang rentak permainan selain gagal menyempurnakan penal­ti yang diberikan.

“Kesilapan pemain pertahanan ketika mengeluarkan bola telah menyebabkan Sarawak berjaya memperoleh gol seawal minit keempat. Kami diberikan penalti, namun gagal disempurnakan dengan baik,” katanya.

Selain beraksi sebagai juara bertahan, Perak juga merupakan pemenang pada edisi empat tahun lalu di Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN