Penyakit kulit sukarkan Azmin bekerja - Utusan Malaysia

Penyakit kulit sukarkan Azmin bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azmin Madzlan, 46, kini sudah habis daya untuk mencari rezeki buat isteri dan dua orang anak tercinta apabila tidak dapat keluar bekerja kerana menghidap sakit misteri.

Penyakit kulit yang dihidapi secara tiba-tiba, selepas balik dari bekerja kira-kira lima bulan lalu menyukarkan untuk dia bergerak kerana kesannya terhadap tubuh.

Pada peringkat awal menghidap penyakit itu yang diistilahkan sebagai kulit bunga, dia hanya melihat beberapa bintik kecil yang timbul di permukaan kulit, sebelum bertukar menjadi berair, gatal, miang dan merebak sehingga ke semua bahagian tubuh.

“Saya berjumpa doktor biasa untuk rawatan tetapi tidak berkesan, sebelum akhirnya saya berjumpa dengan klinik pakar kulit di Klang, Selangor.

“Dia mengatakan penyakit saya ini diakibatkan oleh toksik yang berlebihan dalam badan dan terlalu stres, bukannya penyakit kulit yang diakibatkan oleh kudis.

“Apa yang saya lakukan sekarang ialah saya mandi dengan kerap. Setiap kali mandi, saya akan mengambil masa lama sampaikan sehingga satu setengah jam untuk membuang segala kulit-kulit mati yang melekat pada daging.

 

“Selepas mandi saya sapukan dengan krim pelembap atau minyak kelapa dara untuk melembapkan kulit,” katanya ketika ditemui di rumah panjang di Jalan Othman, Rantau Panjang, Klang, Selangor baru-baru ini.

Azmin memberitahu, dia selama ini hanya bekerja sebagai seorang pemandu lori sambilan di beberapa buah syarikat di sekitar kawasan Rantau Panjang.

Namun, sejak menderita penyakit berkenaan, dia tidak boleh keluar dari rumah ke kawasan berdekatan, apatah lagi keluar bekerja untuk menyara keluarga.

Dia memberitahu, penyakit yang dihidapi itu mengakibatkan rasa tidak selesa, tubuh menegang, kulit mengelupas dan kemudian gugur. Selain itu, dia juga sukar untuk tidur pada waktu malam kerana kesakitan serta tergaru-garu serata badan.

“Saya tidak boleh memandu kerana kulit tegang, apatah lagi terkena pancaran matahari, akan berasa sangat sakit. Tapak tangan juga melepuh dan bengkak, jari tidak boleh digenggam menyebabkan sukar untuk makan atau melakukan kerja-kerja dengan tangan.

“Kulit menjadi hitam, rambut gugur dan badan saya tidak dapat mengeluarkan peluh. Bulan pertama dan kedua dahulu, sangat teruk, kini saya beransur pulih selepas meletakkan pelembap pada bahagian badan dan berpantang makan makanan yang gatal kerana melepuh.

“Biarpun saya seperti hampir pulih dalam tempoh seminggu ini, pihak doktor mengatakan penyakit ini sama ada akan pulih atau sebaliknya bertambah teruk. Saya kini cuma boleh pasrah dan reda dengan ketentuan daripada Tuhan,” jelasnya yang tinggal bersama isteri, Elianin Nasution, 37, dan dua orang anak mereka berusia empat tahun dan empat bulan.

Jelas Azmin lagi, rumah yang diinap sekarang merupakan rumah yang disewa RM400 sebulan, manakala isterinya tidak bekerja kerana perlu menjaga anak yang masih kecil.

Dahulu, ketika masih bekerja memandu lori, dia ada juga pendapatan lebih kurang RM2,000 sebulan, tetapi kini hanya mengharapkan ihsan dan bantuan daripada orang ramai serta, jiran-jiran berdekatan dan saudara-mara.

Buat masa ini, Lembaga Zakat Selangor telah memberikan bantuan kecemasan RM300, untuk bantuan sewa rumah dan makanan bulanan.

Azmin memberitahu, dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk bekerja semula bagi menyara anak dan isteri.

Sudah tentu dia berdoa agar sakitnya itu segera sembuh seperti sediakala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN