KUALA LUMPUR 28 Sept. – Seorang pensyarah di sebuah universiti awam didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada kenderaannya.
Muhammad Fairul Azreen Mohd. Zahid, 30, didakwa memandu kereta jenis Honda Stream telah mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu WWB 8327 di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) di Kampung Pandan dekat sini kira-kira pukul 5.15 petang, 17 Ogos lalu.
Pensyarah teater dan vokal itu didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Muhammad Fairul Azreen yang lengkap memakai baju Melayu berwarna ungu merayu hukuman ringan atas alasan dia baru seminggu berkerja sebagai pensyarah di sebuah kampus di Shah Alam.
“Ibu sudah lama meninggal dunia, bapa pula kini di hospital kerana menghidap penyakit kencing manis,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. – UTUSAN ONLINE









