SEREMBAN 7 Sept. – Kenderaan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Kilometer 46.2, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara di sini hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu, kereta jenis Mazda CX5 dipandunya dirempuh sebuah kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki warga asing.
Ketika kejadian, Zulkiflee dan empat ahli keluarga dalam perjalanan dari Maktab Rendah Sains Mara di Klawang, Jelebu menuju ke Shah Alam.
Difahamkan dua ahli keluarganya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dalam satu kenyataan berkata, lapan anggota bomba dari Balai Bomba Nilai tiba di lokasi kejadian pada pukul 4.31 petang selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, dua perempuan berusia 20-an mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE










