IPOH – Ekoran menerima tiga kad merah kerana dikesan melakukan kesalahan teknikal, pingat emas yang dimenangi atlet Kelantan, Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dibatalkan walaupun dia muncul pelari pertama melintasi garisan penamat bagi acara 5,000 meter jalan kaki wanita Sukma 2018 semalam.
Ketua Delegasi Teknikal Olahraga Sukma, Tan Boon Seng tampil memberikan penjelasan mengapa kemenangan Nurul dinafikan pegawai teknikal dan pengadil pertandingan.
“Apa yang jadi persoalan oleh ramai jurulatih kenapa penyertaan Nurul dibatalkan hanya selepas dia menamatkan perlumbaan adalah kerana dia menerima kad merah ketiga pada hujung perlumbaan.
“Seterusnya kad merah itu dihantar dan dimaklumkan kepada Ketua Hakim. Ketua Hakim hanya menerima kad merah itu selepas Nurul meraikan kemenangannya,” katanya.
Menurut Boon Seng, Nurul telah menerima dua kad merah pada awal perlumbaan dan satu kad merah pada hujung perlumbaan daripada tiga hakim yang berlainan.
“Dua kesalahan kerana loss of contact (kaki tidak menjejak tanah) dan satu lagi kerana lutut dia dikesan membengkok sewaktu perlumbaan.
“Seorang peserta jalan kaki itu akan dibatalkan penyertaan jika dia menerima tiga kad merah daripada tiga hakim yang berlainan. Itu yang berlaku kepada Nurul,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Pengiring Kontinjen Kelantan, Mohd. Ghani Seman mempersoalkan tindakan pegawai bertugas kerana memaklumkan pembatalan itu ketika Nurul tiba ke garisan penamat.
Katanya, andai benar Nurul mengingkari peraturan pertandingan apabila dikatakan mengangkat kakinya (floating) selain membengkokkan lutut, perkara itu harus dimaklumkan lebih awal dan mengarahkan dia berhenti, namun sebaliknya dia hanya dimaklumkan ketika meraikan kejayaannya.
Namun, Boon Seng mengesahkan tiada bantahan diterima daripada kontinjen Kelantan mengenai pembatalan kemenangan itu dan keputusan kekal sekali gus membolehkan atlet Pahang, Koong Jia Lin meraih emas dengan masa 27 minit 35.26 saat. – Bernama










