Peniaga gerai makanan kerugian RM30,000 disamun empat lelaki - Utusan Malaysia

Peniaga gerai makanan kerugian RM30,000 disamun empat lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Seorang peniaga gerai makanan dan anak saudaranya mengalami trauma dengan kerugian hampir RM30,000 selepas wang tunai, barangan kemas dan sebuah kereta Perodua Viva milik mereka dilarikan sekumpulan penyamun sewaktu sedang berniaga di persimpangan masuk ke Santong, Paka dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, Fatimah Latih, 63, dan anak saudaranya, Hanisah Maeen, 36, disamun oleh empat penyamun termasuk salah seorang dipercayai pernah menjadi pelanggan di gerainya sewaktu sedang berniaga nasi dagang, nasi lemak, nasi minyak dan kuih-muih di lokasi kejadian.

Mangsa, Fatimah atau lebih dikenali sebagai Mok Teh oleh pelanggan tetapnya berkata, pada mulanya, dia dan anak saudaranya didatangi dua lelaki untuk memesan kuih dan nasi minyak sebelum sebuah kereta Proton Wira berhenti berhampiran gerainya.

“Dua lelaki keluar dari kereta itu lalu meluru ke gerai kami. Mereka dan dua lelaki yang memesan makanan sebelum ini mengancam saya dan anak saudara saya. Sewaktu kejadian tiada pelanggan lain.

“Salah seorang telah mengacu sebilah pisau ke perut saya sebelum mengarahkan kami berdua berlutut di belakang gerai dan menyentap gelang tangan anak saudara saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.

Fatimah berkata, salah seorang penyamun terbabit juga berani nekad tudung dipakainya hingga ke paras leher bagi memeriksa sama ada dia memakai rantai leher sebelum merampas beg plastik berisi wang tunai RM1,000 yang merupakan hasil jualan selain turut merampas kunci kereta Perodua Viva berwarna hitam milik Hanisah.

Menurut beliau, mereka meninggalkan dia dan Hanisah di gerai dengan memecut laju kereta Proton Wira dan Perodua Viva milik anak saudara saya ke arah Ketengah Jaya dekat sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN