KUALA LUMPUR 24 SepT. – PELAKSAnAAN larangan merokok di premis makanan terbuka bermula Disember ini memberi tamparan hebat kepada golongan perokok di negara ini.
Langkah yang diumumkan kerajaan itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh masyarakat bukan perokok yang selama ini ‘terseksa’ akibat menghidu asap rokok ketika makan di restoran.
Namun sejauh manakah pihak berkuasa mampu bertegas dalam melaksanakan undang-undang itu sedangkan larangan merokok di 23 kawasan yang diwartakan dilihat masih kurang berjaya.
Tinjauan Utusan Malaysia di Bandar Sri Permaisuri dan Bandar Tasik Selatan di sini baru-baru ini mendapati larangan merokok di kawasan seperti hentian bas, tandas awam dan bangunan kerajaan masih dicabuli golongan perokok yang tidak prihatin terhadap keselesaan orang di sekeliling.
Pemerhatian penulis juga mendapati golongan perokok tanpa segan silu merokok di lokasi yang mempunyai tanda amaran dilarang merokok.
Sikap mementingkan diri sendiri itu menyebabkan kawasan tumpuan orang ramai dipenuhi puntung rokok sehingga menimbulkan rasa tidak senang orang ramai.
Mengenai pelaksanaan undang-undang larangan merokok di restoran Disember ini, orang ramai berharap pelaksanaan penguatkuasaan pihak berkuasa dapat ditingkatkan bagi memastikan keberkesannya.
Antara cadangan yang diberikan mengenakan denda yang setimpal sebagai pengajaran kepada perokok seperti yang dilaksanakan di Singapura.
Sementara itu, dalam kalangan perokok pula, ada yang mencadangkan kerajaan mewujudkan lokasi khas kepada perokok di kawasan awam seperti yang dilaksanakan di Jepun dan Eropah.
Menurut pewartaan undang-undang larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Negara pada 6 September lalu, mereka yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.









