TAPAH – Atlet angkat berat wanita, Elly Cascandra Engelbert menjadi kebanggaan kontinjen Sabah setelah merangkul dua pingat emas selain turut memecahkan rekod Sukan Malaysia (Sukma) berusia 10 tahun bagi acara clean & jerk kategori 53 kilogram (kg) semalam.
Elly yang beraksi dalam kesakitan di bahagian bahu terlebih dahulu menuai emas pertama dalam acara snatch menerusi angkatan seberat 72kg sebelum meraih emas kedua clean & jerk dengan angkatan seberat 92kg.
Menurut atlet berusia 18 tahun itu, kepercayaan dengan kebolehan diri serta sentiasa bertenang merupakan rahsia di sebalik kejayaannya meraih pingat emas pertama di Sukma sejak mengambil bahagian pada 2014.
“Sudah tentu saya gembira dan berpuas hati dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi apabila ia adalah emas Sukma pertama saya sejak mengambil bahagian pada 2014 (Sukma Perlis).
“Sebenarnya saya beraksi dalam kesakitan kerana cedera di bahagian bahu. Malah, saya juga pernah mengalami kecederaan serius di bahagian pinggang pada 2017 sehingga terpaksa berehat selama beberapa bulan.
“Segala penat lelah, kesakitan yang pernah dialami terubat dengan merangkul dua emas hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Dewan Merdeka, Majlis Daerah Tapah semalam.
Elly memadamkan rekod Sukma yang dipegang oleh Raihan Yusof dari Kelantan yang mencatatkan angkatan seberat 90kg pada Sukma 2008 di Terengganu.
Pada aksi snatch, pingat perak dirangkul oleh atlet Terengganu, Nurul Syafiqah Azmi dengan angkatan seberat 64kg, manakala gangsa diraih oleh Nurul Ain Husna Che Mohd. Nor dari Pelis (63kg).
Nurul Ain turut merangkul perak bagi acara clean & jerk dengan angkatan 82kg, manakala Nurul Syafiqah menuai gangsa (81kg).
Mengulas lanjut, Elly berharap potensinya sebagai atlet angkat berat terus berkembang pada masa akan datang sekali gus dapat memenuhi impian mewakili negara di Sukan Komanwel.











