TANAH MERAH 24 Sept. – Jika bukan kerana keberanian jirannya, seorang wanita warga emas yang uzur dan tidak dapat berjalan mungkin sudah menemui ajal dalam kebakaran di Pondok Kampung Padang Siam, di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi, Mariam Abdullah, 88, terselamat selepas dipapah keluar oleh jirannya, Abdullah Man.
Difahamkan, Mariam yang tinggal bersendirian lebih 20 tahun lalu di pondok agama itu berada dalam keadaan lemah kerana baru sahaja menjalani pembedahan.
Ketika api mula marak membakar unit kediamannya, wanita itu tidak mempunyai kudrat untuk berjalan dan hanya mampu menjerit meminta tolong.
Menurut Abdullah, selepas menyedari pondok tersebut terbakar, dia serta-merta teringatkan Mariam yang uzur lalu segera memberanikan diri masuk ke dalam pondok untuk mencari wanita itu.
“Saya cepat-cepat memapah dia keluar dari pondok. Syukurlah kami berdua sempat keluar dan tiada sesiapa cedera dalam kebakaran ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Imam Masjid Kampung Padang Siam yang menguruskan pondok agama terbabit, Mohd. Zawawi Mohamad memberitahu, Pondok Padang Siam yang diasaskan sejak 1960 mempunyai 15 unit kediaman dan mempunyai 10 penghuni warga emas.
“Kejadian ini memusnahkan dua unit kediaman namun kami bersyukur kepada Allah SWT tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jajahan Tanah Merah, Mohd. Fairuz Zakaria memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 3.38 pagi dan segera ke lokasi bersama lima anggota serta dua jentera.
“Api berjaya dikawal supaya tidak merebak ke unit kediaman lain dalam tempoh setengah jam. Setakat ini punca kejadian dan nilai kerugian masih disiasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










