KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Bidang pendidikan mampu menjadi wadah kepada Pas bagi mendekati pengundi Cina sekali gus menyakinkanmereka untuk beralih sokongan daripada Pakatan Harapan (PH).

Perwakilan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Lau Chin Hua berkata, pendidikan perkara terpenting bagi masyarakat itu dan mereka amat menghargai sebarang pengiktirafan terhadap pendidikan aliran Cina.
Tambah beliau, sikap masyarakat itu terhadap bidang itu amat sensitif dan mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang idea atau usaha memansuhkan pendidikan aliran Cina di negara ini.
“Untuk makluman, sistem pendidikan sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) memberi penekanan kepada Bahasa Mandarin dan menjadikannya salah satu mata pelajaran. Bagi DHPP ini adalah satu tindakan tepat.
“Allahyarham Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sendiri dikatakan menghantar cucu-cucu beliau ke sekolah Cina supaya mereka dapat menguasai bahasa Mandarin. Ini satu contoh keterbukaan Pas yang perlu diketahui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.
Chin Hua juga berkata, Kelantan dan Terengganu merupakan contoh terbaik yang membuktikan pentadbiran Pas mampu berlaku adil dan tidak mengenepikan kebajikan mana-mana masyarakat bukan Islam.
Sehubungan itu, pihaknya sedia bekerjasama dengan dua kerajaan negeri tersebut bagi mempromosi kebaikan Pas dan menarik lebih ramai orang bukan Islam menyokong parti itu.
“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), peratusan undi bukan Islam kepada PH dikatakan 90 peratus, manakala baki 10 peratus itulah kami yang menyokong Pas.
” Kami walaupun hanya 10 peratus, tapi penyokong ‘hardcore’ yang tidak akan berganjak, sebaliknya akan berusaha tarik semula orang bukan Islam menyokong Pas,” katanya. – UTUSAN ONLINE










