Penculik tuntut RM4j - Utusan Malaysia

Penculik tuntut RM4j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 25 Sept. – Kumpulan penculik yang me­larikan dua warga Indonesia di perairan Pulau Bodgaya, Semporna dekat sini pada 11 September lalu telah menuntut wang tebusan sebanyak RM4 juta bagi melepaskan kedua-dua mangsa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kumpulan penjenayah tersebut meminta wang tebusan itu menerusi panggilan telefon yang dibuat kepada seorang isteri mangsa.

Menurut beliau, bagaimanapun tiada sebarang ugutan ataupun tempoh diberikan suspek berhubung tuntutan tersebut.

“Keluarga seorang mangsa kes culik yang berada di Pulau Sulawesi, Indonesia telah me­nerima panggilan daripada suspek yang dipercayai kumpulan penculikan tersebut dan me­minta wang tebusan.

“Panggilan itu diterima pada 18 September lalu kira-kira pukul 10.20 pagi menerusi nombor telefon antarabangsa dipercayai dari negara Fi­lipina,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perbarisan Khas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Baru-baru ini, pantai timur Sabah sekali lagi dikejutkan dengan insiden penculikan melibatkan dua kru kapal nelayan oleh sekumpulan penjenayah bertopeng, berpakai­an hitam dan bersenjata api didalangi kumpulan penculik untuk tebusan (KFR) di perairan Pulau Bodgaya, Semporna.

Dalam insiden kira-kira pukul 12 tengah malam itu, dua lagi kru bot nelayan berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam satu ruang dalam bot berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, kajian terperinci akan dilakukan secara bersama berhubung kebenaran penggunaan bot pam di kawasan persisir pantai khususnya di pantai timur Sabah.

“Perkara ini masih dipe­ringkat kajian bersama semua pihak berkuasa termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keputusan kelak akan mengambil kira semua aspek termasuk pendirian kerajaan negeri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN