PENYERTAAN Kapal Diraja (KD) Lekiu dalam siri latihan Rim of the Pacific (Rimpac) 2018 berjaya menempa kejayaan serta mengharumkan nama Malaysia selepas meraih tempat pertama dalam pertandingan inovasi dengan penghasilan Floating DC Bag dalam siri latihan yang diadakan di Hawaii, Amerika Syarikat (AS).
Malah, apa yang membanggakan, KD Lekiu turut menjadi kebanggaan apabila berjaya melepasi standard pengoperasian pelayaran bagi kelas Frigat setelah membuktikan mampu belayar selama 22 hari berbanding 21 hari yang ditetapkan.
Rimpac 2018 ini juga secara tidak langsung menguji kesiapsiagaan kapal serta krew KD Lekiu apabila belayar sejauh 12,861 batu nautika bagi menyertai latihan fasa laut selama 22 hari tanpa menerima bekalan di pelabuhan dan hanya melaksanakan pengisian minyak di laut sebanyak enam kali bersama kapal tentera laut negara asing.
Dengan tercetusnya kejayaan tersebut, krew KD Lekiu disambut meriah dalam satu majlis di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak baru-baru ini.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany dan Timbalan Atase Pertahanan, Kedutaan AS, Komander Melinda Schryver turut hadir menyambut kepulangan 144 krew kapal berkenaan.
Sementara itu, Mohd.Reza dalam satu kenyataan berkata, beliau berbangga dan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga KD Lekiu kerana mengekalkan prestasi terbaik dan membuktikan kemampuan kapal TLDM dalam menyertai eksesais bertaraf antarabangsa seperti ini.
Katanya , lebih istimewa, kepulangan tersebut memberi penuh makna kepada anggota terlibat kerana diadakan pada tarikh 31 Ogos iaitu bulan kemerdekaan.
Eksesais Rimpac merupakan eksesais maritim terbesar yang dilaksanakan Tentera Laut AS secara dwitahunan bermula tahun 1971 di Hawaii.










