IPOH – Atlet wusyu Kelantan, Nor Azira Kamarudzaman membuat penampilan pertama pada Sukan Malaysia (Sukma) dengan penuh bergaya apabila merangkul pingat perak dalam kategori nanquan wanita di Kolej Matrikulasi Gopeng semalam.
Biarpun sekadar memiliki ketinggian 130 sentimeter, ia tidak menghalang Nor Azira mempamerkan persembahan positif dengan meraih kutipan 9.25 mata.
Apa yang pasti, kejayaan manis itu sekurang-kurangnya dapat membuka mata Jurulatih Melaka, Chai Chin Hin bahawa dia memiliki kualiti untuk mewakili negeri kelahirannya selepas bertindak menyertai Kelantan apabila tidak terpilih untuk menyertai Melaka.
“Saya sangat gembira kerana dapat mendapat pingat perak pada penampilan pertama di pentas Sukma ini.
“Saya hanya fikir mahu melakukan yang terbaik dan tidak memberi tekanan kepada diri sendiri sebaik turun ke gelanggang.
“Jika tidak, saya wakil Melaka tetapi tidak dipilih oleh jurulatih. Beliau mencadangkan nama saya kepada Kelantan dan saya dipilih untuk mewakili pasukan ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Nor Azira mendedahkan dia memiliki impian untuk mewakili skuad kebangsaan dan bertekad untuk mempertingkatkan prestasi sebelum beraksi di pentas antarabangsa.
“Sudah pasti bergelar atlet negara menjadi impian setiap atlet-atlet negeri dan saya harap masa itu akan tiba kerana mahu menyumbang bakti serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya.
Pingat emas acara itu menjadi milik atlet negara yang merupakan pemenang pingat emas Kejohanan Wusyu Dunia di Kazan, Rusia tahun lalu, Tan Cheong Min yang mewakili Melaka dengan meraih 9.56 mata manakala gangsa milik Lee Hui Xian (9.05 mata).









