Penambahbaikan selepas terima laporan JPP - Utusan Malaysia

Penambahbaikan selepas terima laporan JPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 24 Sept. – Sebarang langkah penambahbaikan yang akan diambil berhubung pemilihan PKR hanya akan diambil setelah parti mendengar sendiri laporan dibentangkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam Me­syuarat Biro Politik malam esok.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti tidak akan membuat keputusan hanya bersandarkan kepada ‘cakap-cakap’ pihak tertentu sebelum mendengar sendiri laporan penuh JPP dalam mesyuarat tersebut.

“Sebab itu saya minta semua ahli parti yang tidak puas hati atau ada bukti mengenai tatacara perjalanan yang tidak sempurna, bawa segera kepada JPP supaya dapat dibentangkan kepada biro politik malam esok.

“Daripada situ kita akan tahu puncanya. Sehingga laporan itu diterima, tiada keputusan akan dibuat dengan saya sendiri tidak boleh bersifat spekulatif bagi berlaku adil terhadap JPP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar dan Tuisyen Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kolej Mara Kulim di sini hari ini.

Pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang kelmarin dicemari adegan membaling kerusi dan pukul memukul sehingga menyebabkan beberapa individu ditahan selain keputusan pemilihan di Negeri Jelapang Padi itu dibatalkan dan perlu diadakan semula.

Mengulas kenyataan calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha serta calon Ketua Pemuda, Dr. Afif Bahardin yang mahu supaya beliau dan JPP bertanggungjawab terhadap kegagalan sistem tersebut serta kekecohan yang berlaku, Saifuddin berkata, tiada individu perlu dipersalahkan berhubung perkara itu.

“Keputusan untuk menjalankan pemilihan menerusi sistem itu dibuat secara kolektif setelah dibentangkan secara telus kepada semua pimpinan parti sebelum ini.

“Jadi, apa yang berlaku itu merupakan tanggungjawab bersama. Tiada pihak perlu dipersalahkan secara berseorangan kerana JPP yang mengendalikan pe­milihan bukan mana-mana individu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN