KUALA TERENGGANU 24 Sept. – Kekecohan yang berlaku dalam proses pemilihan PKR di beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang kelmarin tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur sabotaj sebaliknya berpunca akibat kelemahan fungsi sistem e-undi.

Naib Presidennya, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kelemahan yang merencatkan perjalanan pemilihan parti itu kali ini bagaimanapun akan diatasi oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam masa terdekat.
“Saya tidak nampak sabotaj, saya ingat kita kena ketatkan dengan sistem yang ada.
“Insiden ini berlaku disebabkan masalah sistem bukan kerana mereka tidak diberitahu atau berpeluang untuk mengundi, mereka datang pagi tetapi tidak dapat mengundi. Kalau sistem sudah dibaiki saya ingat tidak ada masalah untuk teruskan dengan pengundian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) 2018 dan Senarai Merah Spesis Terancam di Auditorium Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Xavier mengulas dakwaan Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj untuk mencemarkan imej parti itu susulan kekecohan yang berlaku termasuk insiden membaling kerusi.
Proses pemilihan PKR bagi sembilan daripada 15 cabang di Kedah terpaksa ditunda ke satu tarikh lain berikutan sistem e-undi yang pertama kali digunakan mengalami masalah teknikal.
Masalah itu juga, mengakibatkan tercetus pergaduhan di lokasi pengundian setelah ahli yang hadir naik berang dipercayai kerana menunggu terlalu lama sekali gus turut menyebabkan proses pemilihan parti bagi peringkat negeri Perlis yang dijadual berlangsung semalam terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Xavier berkata, proses pemilihan PKR akan diteruskan di negeri Johor dan Melaka pada akhir minggu ini.
Dalam pada itu, beliau yang bertanding jawatan sama dalam pemilihan kali ini yakin peluangnya cerah untuk terus kekal sebagai penyandang.
“Mana-mana parti politik pun ada banyak kem dan saya tidak nampak ini sebagai serius. Apabila ada dua pemimpin dalam parti bertarung untuk jadi pemimpin utama dan situasi itu dilalui PKR pada masa ini,” katanya.
Kerusi naib presiden bakal direbut 12 calon, termasuk empat penyandang jawatan berkenaan dan tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan.
Selain Xavier, penyandang jawatan itu ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.- UTUSAN ONLINE










