KUALA LUMPUR 4 Sept. – Naib Presiden PKR, Tian Chua merasakan penting buat ahli-ahli PKR memilih mereka yang ada keupayaan untuk menterjemahkan laungan reformasi parti itu dalam pentadbiran kerajaan, melalui Pemilihan PKR bermula bulan ini.
Beliau bagaimanapun berkata dirinya tidak bermaksud menyokong kenyataan calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahukan ahli-ahli PKR memilih mereka yang ada kuasa Eksekutif dan bukannya calon jobless (tidak mempunyai jawatan penting).
“Sekarang kita harus terjemahkan reformasi ini yang kita laungkan sejak 20 tahun lalu, bukan lagi masa untuk bersorak atau saling mengkritik.
“Rakyat sudah memberi kuasa dan mandat kepada PKR dan kini menjadi tanggungjawab kita memastikan prinsip dan nilai reformasi diterjemahkan menjadi realiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Kuih Bulan Reformasi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.
Kenyataan Mohamed Azmin pada Ahad lalu itu mengundang rasa kurang senang penyokong satu lagi calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli yang kini tidak mempunyai jawatan sebagai Ahli Parlimen dan anggota Kabinet.-UTUSAN ONLINE











