Pemilihan ditunda, Cabang PKR Sungai Petani tegang - Utusan Malaysia

Pemilihan ditunda, Cabang PKR Sungai Petani tegang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 22 Sept. – Suasana pemilihan PKR Cabang Sungai Petani di sini sedikit tegang apabila proses pengundian ditunda ke tarikh lain ekoran masalah teknikal.

Malah 20 anggota polis hadir untuk mengawal tempat pemilihan mengundi pemimpin PKR peringkat pusat dan cabang Sungai Petani itu bagi memastikan suasana terkawal.

Penangguhan itu sekali gus mengakibatkan 7,000 ahli PKR Cabang Sungai Petani yang hadir terpaksa pulang kehampaan kira-kira pukul 1 petang tadi.

Ketua Cabang PKR Sungai Petani, Robert Ling Kui Ee berkata, bila kegagalan sistem e-undi berfungsi mengakibatkan ramai ahli memprotes dan melahirkan perasaan tidak puas hati.

“Ramai ahli datang hendak hendak mengundi pemimpin yang disukai di peringkat cabang dan pusat mulai pukul 9 pagi.

“Sehingga pukul 11 pagi, kerja-kerja pemilihan pemimpin menggunakan sistem e-undi tidak dapat digunakan juga dan ramai ahli yang berada dalam khemah buat bising di luar pagar dewan pemilihan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja berlaku di Sungai Petani sahaja malah turut berlaku di tempat lain.

“Kebanyakanahli yang datang itu dari kampung dan mereka terpaksa tinggal kerja masing-masing, bila berada di sini, tidak boleh mengundi pula.

“Ramai ahli kecewa hingga sanggup buat bising, bagaimanapun setelah diberi penerangan kemarahan ahli dalam hal itu agak reda, berikutan kejadian berlaku itu, kita ambil keputusan supaya pemilihan itu ditunda ke tarikh lain sahaja, sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu,” katanya.

Beliau menambah, tarikh pemilihan mengundi semula terpaksa ditunda setelah menerima arahan dari sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Firdaus Yusoff pula berkata, pihaknya turut kecewa dengan apa yang berlaku terhadap cara pemilihan e-undi yang diperkenalkan itu.

Menurutnya, sepatutnya, sistem seumpama itu diberi percubaan terlebih dulu dan jika gagal dilaksanakan ada persiapan untuk terus digunakan sistem lama iaitu undi dengan mengggunakan kertas sahaja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN