SEREMBAN 16 Sept. – Seorang wanita maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 270.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat Nilai di sini semalam.
Mangsa, Nor Tiara Alias, 22, yang membonceng motosikal Yamaha R25 ditunggang kakaknya, Nor Erlian, 24, dipercayai berkonvoi bersama dua buah motosikal berkuasa tinggi lain dari Kuala Lumpur menuju ke Seremban.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Azrul Hisham Mohd. Shaffie berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika ketiga-tiga motosikal itu berada di lorong kedua dari kanan di laluan tersebut.
“Motosikal dinaiki mangsa bergerak laju dan terlanggar sisi belakang sebelah kiri motosikal Yamaha R6 yang ditunggang seorang lelaki berusia 43 tahun di hadapannya menyebabkan kedua-dua penunggang terjatuh ke atas lebuh raya.
“Nor Tiara tercampak ke lorong kedua dari kiri lebuh raya,” katanya di sini hari ini.
Azrul Hisham berkata, mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar ( HTJ) di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kes berasingan, beliau memberitahu, seorang lelaki berusia 23 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar serpihan lampu jalan di KM 278 arah selatan lebuh raya sama awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, motosikal Yamaha 150 ditunggang mangsa, Muhammad Syahril Amri Sulaiman melanggar serpihan lampu jalan yang pecah kerana tiang lampu itu dilanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.











