MARAN – Wartawan sambilan Kosmo! yang merupakan seorang guru, Salehudin Mat Rasad, 60, diarak menaiki tandu ketika majlis persaraan beliau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 di sini semalam.
Salehudin yang berkhidmat sebagai guru selama 37 tahun tiga bulan 26 hari menyifatkan ia sebagai satu penghormatan yang tidak pernah dijangka ketika diraikan dalam majlis tersebut.
Pada majlis itu, Salehudin dibawa menaiki tandu dari SMK Jengka 16 untuk dihantar pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah tersebut.
“Terima kasih kepada guru dan pelajar yang membawa saya pulang ke rumah menaiki tandu sambil diiringi para pelajar dan guru-guru,” katanya.
Hadir sama menyaksikan upacara tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Ahmad Nahran Ishak diiringi Pengetua SMK Jengka 18, Sadri Kormin serta Pengurus Felda Jengka 18, Azlin Abdullah.
Salehudin memulakan karier perguruan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Tekam, Jerantut pada 1981 sebelum menamatkan profesion melalui persaraan wajib, semalam.
Beliau menjadi pemberita sambilan untuk akhbar Utusan Malaysia pada Disember 1985 sebelum turut menyumbang laporan berita kepada Kosmo! bermula Januari 2008. – K! ONLINE









