Pembantu operasi rugi RM49,000 ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Pembantu operasi rugi RM49,000 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Seorang pembantu operasi syarikat milik kerajaan negeri kerugian RM49,000 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam pada hujung bulan lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata  mangsa berusia 56 tahun itu mendakwa dihubungi seorang wanita pada 31 Ogos lalu memberitahu dirinya mempunyai pinjaman RM70,000 di sebuah bank. 

Katanya, mangsa juga dimaklumkan bayaran balik pinjaman itu telah tertunggak sebanyak RM3,885 menyebabkan dirinya panik. 

“Mangsa diminta membuat laporan polis di Seremban dalam tempoh dua jam jika tidak mahu namanya disenaraihitamkan. Bagaimanapun, panggilan itu kemudiannya dikatakan disambungkan ke balai polis itu bagi memudahkannya. 

“Mangsa yang bercakap dengan ‘Sarjan Lau’ kemudiannya ditakutkan kononnya bersubahat dengan pengurus bank di Kuantan dalam jenayah pengubahan wang haram dan dadah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir menambah mangsa diminta untuk melaporkan pergerakannya setiap dua jam menggunakan telefon bimbit sebelum diarahkan memindahkan wang ke dalam akaun bank kononnya milik mahkamah bagi tujuan siasatan. 

Mangsa melakukan transaksi pemindahan wang sebanyak dua kali pada pagi 3 dan 4 Septemberlalu dan sejak itu, telah gagal menghubungi ‘inspektor’ yang dikatakan mengendalikan kes itu. 

Mohd Wazir berkata mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN