Pembangkang menjadi ‘kerajaan menanti’ - Utusan Malaysia

Pembangkang menjadi ‘kerajaan menanti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Barisan Nasional (BN) memenangi 79 kerusi Parlimen pada PRU-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018. Namun, realiti kedinamikan politik Malaysia menyebabkan Ahli Parlimen BN hari ini tinggal 52 orang, 49 daripada UMNO, 2 MIC dan 1 MCA. Namun, BN masih memiliki bilangan Ahli Parlimen kedua terbanyak selepas Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan.

Dari segi konvensyen sistem Parlimen dalam Komanwel, parti kedua terbesar dalam Parlimen diiktiraf sebagai Pembangkang di Parlimen, dan ketuanya dilantik sebagai ketua pembangkang secara rasmi.

Tugas pembangkang yang diiktiraf secara rasmi ini adalah untuk memastikan tindak-tanduk kerajaan diperhatikan, semak dan imbang (to keep the government in-check).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedudukan parti pembangkang ini sebenarnya lebih merupakan ‘Kerajaan Alternatif’, atau The Alternative Government, kerana sekiranya ada sesuatu berlaku dalam Parlimen, seperti kerajaan tiba-tiba hilang sokongan majoriti kerana kehilangan kepercayaan, maka besar kemungkinan parti pembangkang inilah yang akan mengambil alih tampuk kerajaan.

Di United Kingdom pula, Labour Party menggelarkan mereka sebagai The Government-in-Waiting.

Perkara ini pernah berlaku di Terengganu pada 1964 dan di Perak pada 2009.

Di luar negara pula ia pernah berlaku di Kanada pada 2011 apabila kerajaannya kalah dalam undi tidak percaya dan pilihan raya umum terpaksa diadakan.

Kerajaan PH hari ini hanya dibentuk oleh 133 kerusi bersama dengan Parti Warisan Sabah, dan menyaksikan 89 ahli Parlimen pembangkang.

Memandangkan PH masih baharu dan belum dapat disusun secara kukuh, serta jurang perbezaan ideologi yang luas dalam kalangan parti-parti pendiriannya, pemerhati politik mengukur bahawa kerajaan PH adalah lemah dan rapuh.

Keadaan ini sebenarnya membuka ruang amat besar kepada pihak pembangkang yang licik untuk memanipulasi secara strategik. Malah, bukan ahli politik sekiranya mereka tidak berusaha melakukan sesuatu yang boleh membawa kemenangan berpihak kepada mereka.

UMNO baru belajar bertatih menjadi pembangkang, dan Pas merupakan parti pembangkang paling berpengalaman, sejak 1955 dan berbulan madu sebentar antara 1974 dan 1978.

Jumlah ahli Parlimen UMNO dan Pas adalah 70 orang, dan asas perjuangan dan misi kedua-dua parti ini sebenarnya tidak jauh berbeza, malah sejarah mereka pun hampir sama, cuma jalan dilalui yang berbeza.

Pada kali ini, walaupun mungkin sejarah pertembungan antara dua parti ini menjadikan mereka malu-malu kucing untuk mengaku setiap satu antara mereka amat perlu kepada satu sama lain.

Sungguhpun pendapat dan pendirian mungkin berbeza dalam kalangan ahli dan pemimpin kedua-dua pihak, namun hakikatnya para penyokong kedua-dua parti ini amat mengalu-alukan kerjasama antara mereka, dan kedua-dua parti ini seharusnya ambil iktibar, bahawa ahli parti sahaja tidak cukup untuk memenangkan mereka dalam mana-mana pilihan raya.

Pas sudah beberapa tahun membawa slogan politik matang dan sejahtera, dan kematangan ini seharusnya diterjemahkan kepada kerjasama dalam Parlimen sebagai sama-sama berada di pihak pembangkang. Mereka boleh majukan pendirian untuk bersetuju dalam isu-isu tertentu terutama dalam hal berkait umat Islam dan agama Islam, dan boleh juga bersetuju untuk tidak bersetuju dalam perkara-perkara yang tidak boleh mereka gadaikan prinsip parti mereka.

Kerjasama sedemikian akan meningkatkan keberkesanan tugas kepembangkangan yang seharusnya mampu mengangkat kepentingan rakyat untuk dibahas secara lebih berkesan.

Hasil kajian terhadap isu-isu tertentu boleh dikongsi sebelum dibawa ke perbahasan di Parlimen, berbincang untuk mengambil sudut yang lebih berkesan, dan mengatur jurucakap yang berwibawa untuk melontarkan hujah. Kos kajian untuk setiap parti akan dapat dikurangkan dan motif sama terlibat dalam membina negara akan lebih terserlah.

Sekiranya ini boleh berlaku secara lebih tersusun dan berencana, Kerajaan PH tidak dapat mengambil mudah kebersamaan pembangkang dalam Parlimen, dan rakyat akan lebih yakin bahawa politik negara bergerak ke arah lebih positif, dengan mesej tersimpan di belakang minda, sekiranya kerajaan hari ini gagal memberi khidmat yang dijanjikan, sebuah ‘kerajaan menanti’ boleh mengambil alih.

DR. MOHD. FAUZI SHAFFIE ialah Presiden Pertubuhan Jati dan bekas Pengurus Besar Institut Kajian Strategik Islam Malaysia.

Sungguhpun pendapat dan pendirian mungkin berbeza dalam kalangan ahli dan pemimpin kedua-dua pihak, namun hakikatnya para penyokong kedua-dua parti ini amat mengalu-alukan kerjasama antara mereka, dan kedua-dua parti ini seharusnya ambil iktibar, bahawa ahli parti sahaja tidak cukup untuk memenangkan mereka dalam mana-mana pilihan raya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini