KUALA LUMPUR 9 Sept. – Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Lebuh Raya Sultan Iskandar dari Sentul berhampiran Parlimen di sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.54 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila pihak bomba tiba, anggota mendapati sebuah kereta Nissan Livina terbabas di bahu jalan dan terbakar.
“Operasi memadam api dan mengeluarkan mangsa dilakukan serta telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










