SUBANG JAYA – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler dari arah hadapan dalam satu kemalangan di Kilometer 6.4 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu, kedua-dua mangsa sedang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah USJ menghala ke Shah Alam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah trelar dari laluan bertentangan dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke lorong mangsa dan merempuh bahagian kanan kereta mereka sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan.
“Mangsa, Fauzi Mustafa, 35, yang memandu kereta tersebut maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakannya Mohd. Hasnan Mohd. Ali, 57, patah tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azman, pemandu treler berkenaan, Mazle Mahad, 33, turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan kesemua terlibat seterusnya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut juga bedah siasat.
“Waris si mati telah dihubungi dan polis kini sedang di dalam proses untuk mencari saksi kejadian.
“Saksi kejadian dipohon untuk tampil membantu siasatan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











