TAIPING 15 Sept. – Seorang lelaki yang sedang menyertai latihan payung terjun cedera setelah payung terjunnya tersasar dan tersangkut pada kubah Masjid Al Hidayah di Tekah, Taiping di sini, hari ini.
Difahamkan, latihan payung terjun oleh sebuah kelab rekreasi itu disertai seramai 22 orang peserta termasuk mangsa.
Bagaimanapun, hanya payung terjun Mohamad Affizul Mohamad Bee, 25, yang tersasar pada kubah masjid dipercayai akibat tiupan angin sebelum lelaki itu menggelongsor ke bahagian bumbung masjid.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, anggota dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.48 petang.
Katanya, operasi menurunkan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan segera dijalankan menggunakan tali dan pengusung.
“Kerja-kerja menurunkan mangsa mengambil masa antara lima hingga 10 minit. Kita menggunakan bucket strecher bagi menurunkan mangsa yang cedera dari bumbung masjid.
“Mangsa difahamkan seorang yang berpengalaman dalam mengendalikan payung terjun, namun kemungkinan faktor angin menyebabkan payung terjunnya tersasar,” katanya di sini, hari ini.
Rafeel Hairul berkata, saksi yang melihat kejadian memaklumkan mangsa sempat berpaut pada kubah itu, sebelum jatuh ke bahagian bumbung dari ketinggian tiga meter.
Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan sedar namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan di bahagian belakang.
“Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital dan operasi tamat pada pukul 4.25 petang,” katanya.










