PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Pakai Buang 2018-2030 pada bulan hadapan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan isu global tersebut.
Menteri MESSTECC, Yeoh Bee Yin berkata, pelan tindakan tersebut merupakan salah satu langkah ke hadapan kerajaan bagi membincangkan isu pencemaran plastik secara terbuka dengan pelbagai pihak terlibat termasuk rakyat, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Sehubungan itu, kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada orang ramai mengenai pelan hala tuju tindakan ini sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM 2018), 17 Oktober 2018.
“Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Pakai Buang 2018-2030 ini akan diadakan fasa demi fasa bagi mencapai hasrat mengurangkan penggunaan plastik di Malaysia menjelang 2030,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Town Hall Bagi Menangani Penggunaan Plastik Pakai Buang di sini hari ini.
Menurut Bee Yin, hala tuju tersebut bukan sahaja penting untuk orang ramai tetapi juga kepada pihak industri supaya mereka dapat mengenal pasti dan mengeluarkan produk mesra alam bagi menggantikan penggunaan plastik pakai buang.
“Kerajaan tidak berhasrat membunuh pihak industri tetapi mahu mereka bersama-sama kerajaan mengeluarkan produk alternatif bagi menggantikan plastik pakai buang menerusi bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia merupakan negara pengeksport keempat dan ke-25 terbesar bahan plastik masing-masing di rantau Asia Tenggara dan dunia pada tahun lepas.
Dalam pada itu, Bee Yin berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri termasuk negeri pembangkang bagi mengeluarkan satu polisi yang dipersetujui secara bersama berhubung isu tersebut.
Sementara itu, ditanya mengenai larangan penggunaan straw minuman di Wilayah Persekutuan pada 1 Januari 2020, beliau berkata, langkah itu bakal menjadi contoh kepada negara dalam menghentikan penggunaan bahan itu dan plastik pakai buang lain pada masa hadapan. – K! ONLINE










