Pelajar ketagih ketum meningkat - Utusan Malaysia

Pelajar ketagih ketum meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Sept. – Ramai golongan muda khususnya pelajar sekolah di negeri ini menagih air ketum kerana cecair itu tidak dapat dikesan melalui ujian saringan air kencing.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Rohayu Ahmad berkata, pihaknya mendapati penagihan ketum semakin serius apabila sehingga penghujung Ogos lalu sebanyak 1,026 pelajar membuat pengakuan secara lisan terlibat dengan gejala itu berbanding 790 orang bagi sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, kos mendapatkan air ketum yang jauh lebih murah daripada dadah seperti pil kuda juga punca utama ia menjadi pilihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebutir pil kuda yang harganya antara RM8 hingga RM10 paling ramai pun dapat berkongsi dua orang tetapi sebungkus air ketum pada harga sama boleh dikongsi hingga empat orang.

“Fenomena penagihan ketum adalah lebih serius berbanding tahun lepas khususnya di sekolah-sekolah menengah, pelajar rasa ‘selamat’ minum air ketum kerana kalau dibuat ujian air kencing hasilnya adalah negatif.

“Mereka tidak tahu bahawa penagihan air ketum akan memberi kesan jangka panjang, pembelajaran dan fisiologi tubuh badan yang akhirnya menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Terus Bangkit Memerangi Dadah Kepada Pengetua Sekolah di Royal Guest House di sini hari ini.

Program itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat.

Sebanyak 77 pengetua dari daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tumpat dan Bachok hadir dalam program julung kali tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini