Pekerja wanita parah tangan tersepit mesin pengisar - Utusan Malaysia

Pekerja wanita parah tangan tersepit mesin pengisar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 7 Sept. – Pergelangan tangan kanan seorang pekerja wanita hancur akibat tersepit pada mesin pengisar kacang di sebuah kilang memproses makanan ringan di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 43 tahun itu sedang membersihkan mesin berkenaan sebelum ia beroperasi secara tiba-tiba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, wanita terbabit terpaksa menahan sakit lebih dua jam sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan.

Katanya, kakitangan di kilang berkenaan cuba mengeluarkan sendiri tangan mangsa dan menghubungi ambulans namun usaha mereka gagal.

“Selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.16 pagi, sepasukan anggota bomba dihantar ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit.

“Anggota kemudiannya membuka mesin tersebut dan mengeluarkan mata pengisar dengan menggunakan pemotong hidraulik sebelum menarik keluar tangan wanita itu secara perlahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN