Pekerja melecur kotak fius pencawang meletup - Utusan Malaysia

Pekerja melecur kotak fius pencawang meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Sept. – Seorang pekerja subkontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini melecur di beberapa bahagian anggota badan apabila sebuah kotak fius pencawang elektrik terbakar dan meletup berhampiran Pangsapuri Kejora, Bayan Lepas di sini pagi ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa dikatakan melecur pada kedua-dua belah tangan, muka, badan dan kedua-dua belah paha.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, kejadian itu disedari oleh seorang kerani pengurusan yang terdengar bunyi letupan di kawasan tersebut sebelum dia bergegas ke tempat kejadian sebelum ternampak mangsa yang berusia 27 tahun itu dalam keadaan berasap dan sedang menanggalkan helmet serta pakaiannya yang terbakar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerani itu kemudian cuba memadamkan api yang kelihatan di bahagian kotak fius sebelum menghubungi bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk tindakan lanjut.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Pantai di Bayan Baru sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu sedang membuat pemeriksaan berkaitan kekuatan pengagihan bekalan tenaga TNB ke kawasan sekitar.

“Siasatan mendapati kotak fius pencawang elektrik itu telah terbakar dan ketika ini, bekalan elektrik di kawasan itu telah pun dimatikan oleh pihak TNB sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini