Pekerja kilang parah tangan tersepit mesin kisar kacang - Utusan Malaysia

Pekerja kilang parah tangan tersepit mesin kisar kacang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING – Seorang pekerja sebuah kilang memproses makanan ringan terpaksa menahan kesakitan selama lebih dua jam selepas pergelangan tangan kanannya tersepit pada mesin mengisar kacang di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 8 pagi itu mengakibatkan pergelangan tangan kanan wanita berusia 43 tahun itu hancur dan mengalami kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang membersihkan mesin berkenaan sebelum ia beroperasi secara tiba-tiba. 

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan pergelangan tangan kanannya tersebut sehingga memaksa dirinya menahan sakit lebih dua jam sebelum rakannya menghubungi pihak bomba untuk bantuan.

“Pada awalnya, kakitangan kilang tersebut cuba membantu untuk mengeluarkan tangan mangsa selama dua jam namun, usaha itu gagal sebelum mereka bertindak membuat panggilan kecemasan.

“Selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.16 pagi, anggota bomba bergegas ke kilang tersebut untuk memberikan bantuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

kemalangan
Pekerja kilang terpaksa menahan kesakitan selama lebih dua jam selepas pergelangan tangan kanannya tersepit pada mesin mengisar kacang.  

Menurut Rafeel Hairul, anggota bomba telah membuka mesin tersebut dan mengeluarkan mata pengisar dengan menggunakan pemotong hidraulik sebelum menarik keluar tangan wanita itu secara perlahan.

Ujarnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan mangsa.

Tambahnya, kejadian tersebut menyebabkan pergelangan tangan kanan mangsa hancur sebelum dia dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 11.55 pagi tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN