KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk K. Kumaraendran menyangkal dakwaan bahawa anak guamnya akan ditahan pihak berkuasa pada malam ini dan didakwa esok.
Menurut Kumaraendran, pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang maklumat. Dakwaan tersebut hanya sekadar khabar angin.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat kita akan memaklumkan nanti,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati kira-kira 10 pengamal media berkumpul di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta sejak pukul 8 malam tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak menafikan beberapa lagi pertuduhan akan dibuat terhadap Najib dan Rosmah ketika ditemui di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur hari ini. – K! ONLINE










