KUALA TERENGGANU 24 Sept. – Pegawai Kebudayaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd. Shareezad Abdul Satad, 37, akan mewakili negeri dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2018 peringkat kebangsaan setelah muncul sebagai juara peringkat negeri di sini kelmarin.
Dengan menyampaikan puisi berjudul Generasi Kini karya Zurhan Bakar yang terkandung dalam antologi Lantera Zaman terbitan Gabungan Penulis Nasional (Gapena), beliau mengatasi 9 peserta lain untuk mempertahankan kejuaraan.
Bagaimanapun corak penyampaian beliau perlu terus digilap agar kemunculannya sekali lagi di peringkat kebangsaan bulan depan dapat memberi impak.
Tempat kedua disandang oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Lada, Ketereh, Kelantan, Maizuddin Mohamad, 17, manakala Mashanis Mohamad, 23, juga berasal dari Kelantan tempat ketiga.
Turut bersaing di peringkat akhir ialah Muhammad Haziq, Muhammad Nor Azlan, Romaini, Nurul Huwaida, Najna Rosli, Fatihah Arif Fabilah dan Mohamad Zulfadli.
Program anjuran Gapena bersama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasamana Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) turut dihadiri Ketua Satu Pelita, Kamarulzaman Ismail.
Sayembara dihakimi oleh Syed Mohammad Noor Tuan Long (S.M Noor), Abdul Mubin Ismail dan Lara MN manakala hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Setiausaha Satu Pelita, Zohir Harun.










