Pau: Najib balas sindiran Guan Eng - Utusan Malaysia

Pau: Najib balas sindiran Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Perbalahan mengenai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus yang dikenakan terhadap kuih pau terus menjadi topik perdebatan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Selepas Guan Eng menyindir bekas Perdana Menteri itu bahawa kuih tersebut turut dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), Najib menerusi akaun Facebook beliau hari ini pula membalas secara sinis.

Beliau mempersoalkan mengapa GST dimansuhkan sekiranya kuih pau juga dikenakan kadar cukai serupa dan harga tidak turun.

“Semalam, Guan Eng berang dan kata saya tidak jujur. Dia kata makanan ‘pau’ pun kena enam peratus GST dulu sama seperti enam peratus SST sekarang, dia sangat suka marah saya, dia demam.

“Bukankah Guan Eng pernah kata beberapa kali bahawa cukai SST hanya dikenakan pada pengilang sahaja dan bukan pengguna. Saya bukan pengilang, mengapa saya kena cukai enam peratus pula?” sindir Najib.

Selain itu, Najib turut meminta Guan Eng memeriksa resit yang turut dimuat naik beliau melalui catatan itu bahawa minuman juga dikenakan cukai enam peratus.

“Saya minum teh ais limau di sana. Mengikut jadual SST yang terbaharu, cukai jualan ke atas teh ais limau adalah 10 peratus, bermakna apabila kedai itu beli minuman tersebut daripada pengilang, cukai 10 peratus sudah termasuk secara tersembunyi dalam harganya,” jelasnya.

Menurut Najib, perkara itu bermaksud dengan tambahan enam peratus dikenakan kedai berkenaan, beliau membayar 10 campur enam peratus cukai yang lebih tinggi berbanding enam peratus GST. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN