Pas tidak gopoh - Utusan Malaysia

Pas tidak gopoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 16 Sept. – Majlis Syura Ulama Pas akan meneliti bentuk hu­bungan kerjasama an­tara parti itu dengan UMNO terlebih dahulu dan jika perlu, akan me­ngadakan muktamar khas me­ngenainya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, soal hu­bungan kerjasama yang menjadi perhatian rakyat kini dan mendapat sokongan padu perwakilan sememangnya suatu ke­perluan namun tidak akan tergopoh-gapah kerana ia bukanlah suatu yang mendesak untuk disegerakan.

Ini kerana katanya, Pas tidak menghadapi masalah berhu­bung kerjasama tersebut memandangkan parti itu sudah mempunyai pengalaman terma­suk menyertai kerajaan campuran bersama UMNO suatu ketika dahulu di samping bersama dalam beberapa isu luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Hadi turut menjelaskan mengenai istilah ta’awun dan tahaluf berkaitan jalinan ker­jasama UMNO dan Pas, di mana ta’awun merupakan satu pandangan yang baik manakala tahaluf pula satu persefahaman lebih kukuh.

“Kita lihat ta’awun satu pandangan yang baik dan istilah ini tidak ikat kita tapi fleksibel, tidak negatif. Tahaluf pula persefahaman lebih teguh dan tak sentuh pasal dasar,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-64 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Idris Ahmad dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan penangguhan, beliau menegaskan Pas tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menjalinkan kerjasama dengannya jika menolak perjuangan Islam.

Namun beliau berkata, persefahaman politik dengan sesiapa sahaja untuk kebaikan rakyat dan negara perlu dengan ke­tegasan dan wajib istiqamah dengan akidah perjuangan Islam.

“Mari kita hidupkan budaya politik matang dan sejahtera. Benda yang baik kita boleh bekerjasama melaksanakan tahaluf siyasi dan ta’awun siyasi, persefahaman politik demi rak­yat dan negara.

“Namun (kerjasama) dengan ketegasan dan wajib istiqamah dengan akidah perjuangan Islam. Ini wajib kena jaga. Kita me­nolak reformasi tanpa Islam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini