SEPANG 23 Sept. – Pas masih sedang menunggu keputusan UMNO sama ada mahu meletakkan calon atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebelum membuat keputusan selanjutnya.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sekiranya UMNO tidak mahu bertanding dalam PRK tersebut, Pas bersedia meletakkan calon bagi berhadapan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seperti kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, kita serahkan kepada UMNO buat keputusan.
“Kita masih menunggu sebab UMNO masih belum membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 oleh Pas Relief di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Sehingga kini UMNO masih belum membuat keputusan sama ada meletakkan calon atau tidak dalam PRK tersebut biar pun hari ini berlangsung Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
Difahamkan mesyuarat biro politik UMNO akan diadakan esok bagi memutuskan pendirian parti itu sama ada mahu meletak calon atau tidak.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pilihan raya tersebut tidak sepatutnya diadakan kerana merupakan satu pembaziran, namun ia terpaksa diadakan semata-mata bagi memenuhi cita-cita seseorang untuk menjadi Perdana Menteri.-UTUSAN ONLINE











