PUTRAJAYA – Pas bersedia bekerjasama dengan UMNO atau mana-mana pihak ketiga yang meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Selangor, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini Pas masih menunggu keputusan daripada UMNO yang bermesyuarat hari ini bagi membincangkan calon yang sesuai bagi kerusi tersebut.
“Kerjasama tidak kira sesiapa yang menjadi calon sama ada UMNO, Pas atau pihak ketiga yang meletakkan calon.
“Pembangkang wajar diberikan ruang untuk bekerjasama sama ada untuk PRK ini atau pilihan raya lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pelepasan Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 Pas Relief di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Ahmad Samsuri turut menyifatkan bahawa PRK Parlimen Port Dickson tersebut sebagai suatu pembaziran dan tidak sepatutnya diadakan.
Beliau berkata, Pas berpendirian seorang calon perlu diletakkan bagi menentang Anwar supaya beliau tidak menang tanpa bertanding dengan mudah.
“Pilihan raya (PRK Parlimen Port Dickson) ini seperti dipaksakan oleh rakyat (untuk diadakan) dan dari peringkat awal lagi ia tidak patut diadakan.
“Bagaimanapun, hanya kerana memenuhi cita-cita orang tertentu untuk menjadi Perdana Menteri, maka terpaksalah diadakan PRK ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, PRK Port Dickson yang dianggarkan kos peruntukan sebanyak RM3.6 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai suatu pembaziran.
“Pada kita ia suatu pembaziran dan PRK ini seolah-olah bermain dgn perasaan rakyat yangg telah mengundi sebelum ini.
“Dalam keadaan di PRK Parlimen Port Dickson ini (orang tertentu) bertanding untuk jawatan PM dalam keadaan tidak tahu bagaimana ia dapat direalisasikan,” katanya.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas. – Bernama











