KUALA NERUS – Pas mengakui kelemahan jenteranya menguasai media sosial menjadi punca kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 Mei lalu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu terkandung dalam laporan bedah siasat (post mortem) yang dijalankan terhadap pencapaian Pas yang mengambil kira pandangan daripada semua pihak termasuk ahli akademik, tokoh masyarakat dan badan pemikir dari dalam serta luar negara.
“Pas dan rakan Gagasan Sejahtera turun ke gelanggang PRU-14 di padang yang tidak sama rata berbanding Barisan Nasional (BN) yang menguasai kelebihan media, jentera dan kewangan.
“Serta bersaing dengan Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kelebihan media sosial tanpa batasan akhlak dan moral. Dalam keadaan serba kekurangan Pas telah berjaya mempertahankan Kelantan dan mengambil semula Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan PAS Ke 64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Antara tetamu yang hadir memenuhi undangan julung kali ke muktamar itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan pimpinannya. – Bernama










