Parti baharu untuk kaum India tunggu kelulusan RoS - Waytha Moorthy - Utusan Malaysia

Parti baharu untuk kaum India tunggu kelulusan RoS – Waytha Moorthy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Sebuah parti politik baharu untuk kaum India di negara ini dikenali Malaysian Advancement Party (MAP) kini dalam proses penubuhan dan sedang menunggu kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). 

Pengerusi penaja Senator P. Waytha Moorthy berkata, permohonan untuk penubuhan parti politik baharu itu telah dimajukan kepada RoS oleh jawatankuasa penaja MAP dua minggu lalu.

“Objektif utama parti ialah melindungi, mempromosi dan membawa kepentingan kaum India di Malaysia dalam politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, agama dan sosial.

“Menerusi kelahiran parti politik baharu ini, wujud harapan dan peluang baharu bagi kaum India di negara ini dalam memastikan suara mereka diwakili dengan lebih berkesan agar tiada yang terpinggir,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. 

Waytha Moorthy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kaum India akan berpeluang  untuk menikmati kemajuan dan pembangunan yang dikecapi negara dengan lebih menyeluruh.

“Ia akan mengusahakan pemerkasaan dan penambahbaikan kaum India seiring Perlembagaan Persekutuan dalam meningkatkan kedudukan sosioekonomi serta menggalakkan perpaduan di negara ini,” katanya.

Waytha Moorthy berkata, parti itu juga akan bekerja dan menyertai semua parti komponen  Pakatan Harapan  untuk meningkatkan agenda pembaharuan di bawah ‘Malaysia Baharu’. -BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN