KUALA LUMPUR – Pakaian rasmi negara yang digunakan untuk perbarisan sempena upcara pembukaan Sukan Para Asia Jakarta 2018 bulan depan akan hanya diagihkan kepada atlet dan pegawai beberapa hari sebelum kontinjen negara berlepas ke temasya sukan tersebut. Justeru, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin menjelaskan bahawa soal kekangan kewangan untuk menyediakan pakaian rasmi untuk kontinjen negara tidak timbul sama sekali. “Amalan standard, pakaian rasmi diagihkan kepada anggota kontinjen beberapa hari sebelum bertolak ke sesuatu temasya sukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau menyatakan demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang mendakwa kontinjen negara bagi Sukan Para Asia Jakarta 2018 menghadapi kekangan kewangan untuk menyediakan pakaian rasmi untuk upacara perasmian sukan tersebut. Sukan Para Asia Jakarta 2018 akan bermula 6 hingga 13 Oktober depan. – Bernama










