PEMAIN pertahanan Selangor, Willian Pacheco mengakui berasa gugup untuk berdepan Persija Jakarta dalam aksi persahabatan di Stadium Patriot Chandrabhaga, Surabaya, Indonesia malam ini.
Ini kerana Persija merupakan bekas pasukannya sebelum pemain import dari Brazil itu menyertai Selangor.
Pacheco sebelum ini beraksi selama dua tahun bersama Persija dan telah melakukan 60 penampilan serta menjaringkan lima gol untuk pasukan yang berpangkalan di Jakarta itu sebelum membuat keputusan beralih angin ke Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Saya mula rasa gugup untuk kembali berdepan bekas pasukan bagi aksi persahabatan kedua Selangor di Indonesia.
“Saya sangat menghormati Persija kerana ia adalah pasukan pertama saya di Asia. Saya juga belajar banyak perkara ketika menghabiskan masa selama dua musim di sana.
“Saya merindui para peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan yang hebat sebelum ini sehingga saya mampu menjadi pemain pertahanan terbaik ketika bermain di Indonesia tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, pemain berusia 26 tahun itu berjaya melakukan bantuan jaringan untuk gol tunggal Selangor ketika mereka tewas 1-4 kepada Madura United bagi aksi persahabatan di Stadium Gelora Ratu Pamellingan, Pamekasan.
Selangor ketika ini berada di Indonesia untuk mengharungi aksi persahabatan sebelum melakukan perhitungan terakhir dengan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) minggu depan.
Ia dianggap sebagai aksi pelengkap jadual kempen Piala Malaysia apabila Selangor sudah tersingkir untuk edisi 2018 ini.
Pacheco berjaya menyumbat satu gol ketika Selangor menang 3-1 ke atas Pahang bagi aksi kelima Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan.











