KUALA LUMPUR 16 Sept. – Penderitaan dialami kira-kira 1,000 penduduk di Flat Kos Rendah Mutiara Fadason, Kepong di sini ekoran kerosakan lif sejak sebulan lalu semakin tidak tertanggung.
Kesulitan penghuni di blok C perumahan 18 tingkat itu menjalani kehidupan seharian lebih menyeksakan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar sekolah.
Terbaharu, seorang pengidap penyakit kronik OKU terpaksa diusung bomba sebelum dapat menjalani rawatan di hospital.
Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai masalah seperti pembuangan sampah di tangga dan koridor oleh penghuni tidak bertanggungjawab menjadi semakin serius.
Keadaan tangga yang kotor dan licin juga pernah beberapa kali menyebabkan warga emas tergelincir dan terjatuh sehingga ada yang mengalami kecederaan dan patah tulang.
Bagaikan ‘terperangkap’ dalam kediaman sendiri. Itulah luahan penduduk flat berkenaan yang mahu kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Wakil penduduk, Jessie Rajandren berkata, kesengsaraan penduduk akibat kerosakan lif itu sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh pihak pengurusan tetapi seperti tiada usaha dilakukan ke arah itu.
“Antara golongan yang paling terkesan akibat masalah ini adalah warga emas, OKU dan pelajar yang terpaksa memanjat dan menuruni tangga setiap hari untuk ke kedai, tempat kerja dan sekolah.
“Setakat yang saya ketahui, sudah ada empat kemalangan berlaku di tangga flat ini sejak masalah berlaku. Ada yang patah tulang hidung dan terseliuh,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama 100 penduduk yang turut mengumpul tanda tangan sebagai memorandum rayuan untuk diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut Jessie, dianggarkan RM40,000 diperlukan untuk kerja-kerja membaik pulih lif berkenaan.
“Flat ini mempunyai dua lif dan satu daripadanya sudah rosak sejak lebih setahun lalu.
“Baru-baru ini, lif tunggal yang beroperasi pula rosak dan kini semua penduduk terpaksa menggunakan laluan tangga yang sempit,” katanya.










