TOKYO 24 Sept. – Sebuah kafe yang bakal dibuka di daerah Akasaka pada November ini akan menampilkan pelayan robot yang dikawal dari rumah oleh golongan orang kurang upaya (OKU).
Lapor Kyodo News, kafe terbabit akan dibuka pada Isnin hingga Jumaat dari 26 November hingga 7 Disember.
Kafe itu akan menggunakan robot model OriHime-D, dikawal oleh golongan OKU yang menghidap amyotrophic lateral sclerosis (ALS), sejenis penyakit neuron motor yang menyerang saraf pengawal pergerakan.
Robot tersebut yang mempunyai ketinggian 1.2 meter dan seberat 20 kilogram akan menghantar rakaman video serta audio menerusi internet, membolehkannya dikawal secara terus dari rumah dengan menggunakan tablet dan komputer.
Ketika acara pengenalan OriHime-D pada Ogos lalu, robot yang dikawal oleh pesakit autophagic vacuolar myopathy iaitu Nozomi Murata, bertanyakan kepada sebuah keluarga mengenai menu makanan.
“Saya mahu membina sebuah dunia untuk golongan yang tidak boleh menggerakkan tubuh badannya supaya boleh bekerja,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ory Lab Inc., Kentaro Yoshifuji.
Yoshifuji mengalami penyakit yang disebabkan oleh tekanan semasa kanak-kanak dan mengalami kesukaran berkomunikasi.
Ekoran pengalamannya pernah disisihkan, dia mula membangunkan robot di Universiti Waseda untuk membantu menghubungkan orang ramai.
Ory Lab Inc. berhasrat untuk menubuhkan sebuah kafe yang kekal menampilkan robot OriHime dan meningkatkan penggunaannya oleh syarikat-syarikat menjelang Sukan Olimpik Tokyo dan Paralimpik 2020.










