JOHOR BAHRU 9 Sept. – Lagu`Semakin` dan `Mengapa` membawa tuah kepada Nor Akmar Natasha Hasni, 19, apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Suara Juara 2018, di sini malam tadi.
Akmar yang merupakan penuntut jurusan setiausaha di Kolej Cosmopoint membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi, sijil penyertaan dan barangan kecantikan daripada Dr Irma.
Berasal dari Pulau Pinang, Akmar mempertaruhkan dua lagu bernada tinggi berjaya mengalahkan lima peserta lain dalam final yang diadakan di Auditorium RTM, Johor Bahru, di sini.
Juara juga akan menandatangani kontrak selama setahun bernilai RM100,000 di bawah naungan Dr Irma Intertaiment merangkumi penerbitan single, video muzik serta promosi.
Naib Juara ialah Ketty Natalia Rasul Khan, 30, menerima wang tunai RM3,000 berserta trofi, sijil penyertaan dan set kecantikan dan ketiga ialah Amyza Syafiqah Suhaimee, 23, menerima RM2,000 berserta trofi, sijil penyertaan dan set kecantikan. – UTUSAN ONLINE










