KUALA LUMPUR 5 Sept. – Selepas dikritik hebat ekoran keputusan hambar atlet dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018, Pengarah Program Podium, Tim Newenham akhirnya meletakkan jawatan.
Pengarah kelahiran England itu yang dilantik mengetuai Program Podium sejak ia diperkenalkan pada 2016 mengesahkan sudah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Atlet mencapai sasaran tujuh pingat emas dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia tetapi ia tidak mencukupi untuk mencapai sasaran Program Podium bagi berada dalam kelompok 10 terbaik.
“Sebagai Pengarah Podium, saya mengambil tanggungjawab terhadap persembahan atlet dan dengan itu pada hari ini saya memberi notis peletakan jawatan saya kepada Menteri Belia dan Sukan,” katanya dalam surat tersebut.
Newenham bagaimanapun memberitahu, program tersebut tidak gagal sepenuhnya dengan mengambil contoh Malaysia berjaya mencatat keputusan terbaik dalam Sukan Olimpik serta Paralimpik Rio 2016, selain berjaya melahirkan tujuh juara dunia.
“Pelbagai peningkatan dan pengubahsuaian Sistem Prestasi Tinggi sudah dilakukan menerusi pasukan pegawai kami di sini dan di luar negara dengan gabungan pengalaman dan latihan… Menjadi harapan saya ia akan diguna pakai bagi kegunaan semua orang di Malaysia.
“Saya sering berharap dapat menyediakan amalan terbaik untuk dibangunkan Program Podium untuk membantu mereka yang lain.
“Saya bersyukur memperoleh peluang ini untuk membantu sukan di Malaysia dan pengiktirafan istimewa diberikan kepada pegawai yang bekerja keras tanpa mengira penat, kepada rakan agensi dan terutamanya atlet itu sendiri kerana dedikasi menjadi kebanggaan Malaysia,” katanya.
Dalam Sukan Olimpik 2016 di Brazil, Malaysia pulang bersama empat pingat perak – tiga menerusi badminton dan satu dalam sukan terjun, manakala sebutir gangsa dihadiahkan oleh Azizulhasni Awang dalam acara basikal trek.
Pada Sukan Asia di Jakarta-Palembang yang berakhir minggu lalu, Malaysia menamatkan saingan di tangga ke-14 dengan meraih tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa.
Di Gold Coast April lalu, Malaysia sekadar berada di kedudukan ke-12 dengan tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.
Antara sasaran utama Program Podium yang sudah menelan belanja RM67 juta adalah menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik Sukan Asia dan Komanwel, selain memenangi emas pertama pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. – UTUSAN ONLINE











