PETALING JAYA – Syarikat pengeluar makanan dan minuman terkemuka, Nestle Malaysia (Nestle) dengan kerjasama Yayasan Keamanan Global (GPF) hari ini melancarkan projek khidmat masyarakat, Air Bersih, Masyarakat Selamat bagi membekalkan air bersih kepada komuniti Orang Asli di negara ini.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Nirmalah Thurai berkata, projek permulaan yang berjalan selama empat bulan bermula September itu akan membekalkan sebanyak 56 buah set penapis air di lima perkampungan Orang Asli di sekitar Tasik Chini, Pahang.
“Dalam projek ini, kami turut mengadakan aktiviti penglibatan masyarakat serta program latihan Air, Pembersihan dan Kebersihan (WASH) kepada kanak-kanak dan orang dewasa untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengutamakan kebersihan diri.
“Projek ini merupakan salah satu inisiatif kami yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutama sekali matlamat keenam iaitu membekalkan air bersih dan kebersihan,” katanya pada majlis pelancaran projek Air Bersih, Masyarakat Selamat di sini sebentar tadi.

Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPF, Dr. Teh Su Thye berkata, projek yang memberi manfaat kepada lebih kurang 650 penduduk kampung itu bakal mengubah kehidupan harian mereka terutama golongan wanita dan kanak-kanak di kawasan tersebut.
“Kami gembira untuk bergandingan dengan Nestle dan menerajui projek ini bagi membekalkan air bersih kepada masyarakat Orang Asli yang kurang menerima kemudahan asas.
“Bekalan air yang kurang bersih di perkampungan tersebut amat memberi kesan terhadap kehidupan mereka seperti masalah kulit dan ada juga yang terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali akibat muntah yang teruk dan jangkitan kuman di perut.
“Berbekalkan komitmen kukuh Nestle terhadap usaha membekalkan air bersih dan selamat, kami harap kerjasama kami akan dapat memberikan kesan positif kepada masyarakat di seluruh Malaysia,” katanya. – K! ONLINE










