Naskhah Hollywood nuansa Asia - Utusan Malaysia

Naskhah Hollywood nuansa Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI yang dijangka ramai, filem Crazy Rich Asians berjaya mengungguli carta tayangan pecah panggung bukan sahaja di Hollywood malah, di beberapa negara termasuk Asia.

Tidak dinafikan, filem yang digarap berdasarkan novel tulisan Kevin Kwan mempunyai kekuatan dan magnet yang mampu menarik penonton ke panggung menyaksikan naskhah arahan Jon M. Chu.

Crazy Rich Asians merupakan sebuah filem romantik-komedi yang menyajikan mata dan halwa telinga penonton dengan keindahan busana, kemewahan gaya hidup dan lagu latar yang menepati jalan cerita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Barangkali ada yang akan melabel filem dengan bajet lebih RM123 juta ini sebagai sebuah lagi karya yang mempunyai persamaan dengan kisah popular, Ibu Mertuaku dan Laila Majnun apabila cinta dua darjat dijadikan tema utama.

Namun, filem ini sebenarnya menyajikan lebih drama apabila Crazy Rich Asians merupakan filem pertama yang menampilkan barisan pelakon kelahiran Asia selepas The Joy Luck Club yang diterbitkan pada 1993.

Filem ini mengisahkan seorang profesor kelahiran Singapura yang menetap di New York, Nick Young (Henry Golding) mengajak teman wanitanya, Rachel Chu (Constance Wu) untuk kembali ke tanah kelahirannya.

Teman wanitanya yang juga seorang Asia akhirnya mendapat tahu Nick menyimpan rahsia bahawa dia merupakan pewaris kepada salah satu keluarga paling kaya dan berpengaruh di negara republik tersebut.

Elemen drama bermula apabila Rachel perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan mewah dan pada masa sama, dia juga harus menambat hati ibu teman lelakinya, Elanor ((Tan Sri Michelle Yeoh).

Mengambil latar lokasi yang hampir keseluruhannya dilakukan di Malaysia dan Singapura, naskhah ini menonjolkan keindahan luar biasa beberapa destinasi pelancongan tempatan.

Lihat sahaja apabila Carcosa Seri Negara yang ‘diubah’ menjadi kediaman keluarga Young yang jelas tampak gah dan mewah dengan laluan masuk ke kediaman itu sahaja cukup luas dan indah.

Malah, beberapa lokasi antaranya Four Seasons Hotel, Langkawi dan St. Regis Hotel dijadikan lokasi yang berjaya ‘menipu’ mata penonton seolah-olah penggambaran benar-benar dilakukan di luar negara.

Menurut Pensyarah kanan, Pusat Warisan dan Bitara Melayu, Fakulti sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nur Afifah V Abdullah, Crazy Rich Asians berjaya mengangkat budaya Asia pada mata umum.

Naskhah berkenaan, jelas Nur Afifah, secara tidak langsung juga memberi gambaran masyarakat Cina memiliki nilai ketimuran yang sangat kental termasuk masih mengekalkan budaya mereka sekalipun sudah lama bermastautin di bumi asing.

“Masyarakat Barat sentiasa berminat dengan budaya Timur yang penuh tanda tanya bagi mereka. Pandang dunia dan nilai-nilai serta budaya ketimuran sememangnya agak asing bagi mereka.

“Lihat sahaja bagaimana Rachel terpaksa berdepan dengan nilai, budaya dan pandang dunia wanita-wanita Cina di Singapura yang merasakan diri mereka lebih hebat daripada Rachel.

“Itu adalah objektif atau mesej sebenar filem ini yang mengangkat polemik politik yang berlaku dalam kalangan watak-watak wanita Cina dalam filem tersebut,” ulas Nur Afifah mengenai naskhah Crazy Rich Asians.

Mengulas mengenai lakonan pula, Nur Afifah berpendapat, watak Nick Young lakonan pelakon Malaysia, Henry Golding diterjemah dengan baik, namun dia tidak menafikan masih ada ruang untuk digilap khususnya momen yang memerlukan permainan emosi yang sukar.

“Sesetengah watak dalam filem ini begitu bersahaja, tapi ada juga yang kaku. Pengarah bagaimanapun bijak untuk menjadikan kekurangan itu sebahagian daripada kepelbagaian watak yang boleh kita temui dalam kehidupan seharian.

“Dinamik perhubungan watak-watak wanita, perang psikologi dan pergolakan politik dalaman antara bakal ibu mentua, Rachel dan nenek adalah drama sebenar dalam filem ini. Perkara ini yang membuat penonton teruja mengikuti filem ini,” kata Nur Afifah.

Apa yang lebih membuat masyarakat Asia lebih dekat dengan filem ini juga, menurut Nur Afifah, ialah bagaimana konflik yang dipaparkan dalam filem ini merupakan isu yang sentiasa bermain dalam kehidupan kita.

“Lokasi dan budaya yang dekat dengan masyarakat Timur diangkat dan dipaparkan dengan baik, manakala bagi penonton di Barat, filem ini dapat membantu mereka mengenali budaya masyarakat Timur.

“Malah, pengarahnya bijak dengan menggunakan lagu latar yang merupakan lagu Inggeris pada era 60-an hingga 80-an, cuma dialih bahasa kerana jika inti pati yang cerita asing, secara psikologinya boleh membuat penonton asing lebih dekat dengan filem ini,” ujar beliau lagi.

Secara tuntasnya, Crazy Rich Asians berjaya membuka banyak mata tentang budaya dan kehidupan masyarakat Asia yang mungkin dipandang enteng oleh segelintir pihak di luar sana.

Filem yang turut menampilkan seorang lagi pelakon Malaysia, Carmen Soo ini juga dikhabarkan sudah memulakan penggambaran bagi sekuelnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini