PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) dirundung malang apabila berdepan tunggakan hutang gaji hampir setengah juta ringgit melibatkan 29 pemain musim ini.
Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Status FAM yang mengesahkan tunggakan sebanyak RM461,500 itu perlu dilunaskan dalam tempoh sebulan mulai semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub berkata, PFA bakal berdepan denda lebih serius dan isu itu bakal dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM jika mereka gagal menyelesaikan masalah gaji seperti yang ditetapkan.
“Tuntutan pengadu-pengadu telah diterima sepenuhnya dan PFA dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti jumlah dinyatakan (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Turut berdepan nasib sama ialah kelab bola sepak Terengganu City FC yang perlu menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak enam pemain membabitkan jumlah RM283,000 termasuk penjaga gol, Sani Anuar Kamsani berjumlah RM80,000.
Jika kedua-dua pasukan gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara itu akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.











